Minat dan kepercayaan Lat

Datuk Lat sering memasang lagu gamelan apabila melukiskan perincian-perincian yang rumit dalam kartunnya.

Muzik memainkan peranan penting dalam hidup Datuk Lat sejak muda lagi; beliau menjawab penemu ramah bahawa penguasaan bahasa Inggerisnya dibantu oleh lagu-lagu seperti "I Will Follow Him" oleh Peggy Mac dan "Hey Paula" oleh Paul & Paula.[14] Mendengar muzik juga menjadi amalan penting dalam kerjanya kerana ia membekalkan ilham kepada seninya. Ketika melakar "gadis berfesyen", beliau memainkan lagu Paul McCartney, tetapi beralih ke muzik gamelan Indonesia apabila beliau hendak melukis perincian-perincian yang rumit.[2] Beliau menggemari muzik pop, khususnya muzik rock dari 1950-an dan 1960-an,[32] seperti The Beatles, Bob Dylan, dan Elvis Presley.[13] Lat juga menyukai muzik country, dan seniman-seniman Hank Williams dan Roy Rogers yang berlagu "sederhana" kepadanya.[100] Keseronokan mendengar muzik bukan sekadar minat yang pasif; beliau juga mahir bermain gitar dan piano, dan boleh memainkan alat-alat itu mengikut keadaan.[2]

Masyarakat Malaysia dahulunya memandang rendah kartunis atas tanggapan bahawa sesiapa yang menceburi bidang ini lebih rendah cendekianya berbanding penulis, ataupun pelukis murahan;[101][102] Lat bukan satu-satunya kartunis yang dibayar dengan tiket wayang pada 1950-an; Rejabhad pernah menerima sekeping tiket untuk sepuluh kartun, dan ramai lagi yang mendapat pampasan sebegini,[103][104] jika tidak pun dibayar sejumlah wang yang kecil sahaja.[82] Sungguhpun maruah kartunis begitu rendah pada zaman itu, namun Lat berbangga dengan kerjaya pilihannya; beliau pernah sekali kecil hati apabila teman wanita seorang kawan mengulas bahawa kata-kata dan buah-buah fikiran dalam kartunnya bukan kepunyaan beliau.[101] Melukis kartun bukan sekadar kerjaya untuknya:

Jika saya buat kartun ini sebagai satu pekerjaan, kenapalah saya berbuat demikian selama 33 tahun, sejak kecil dahulu hingga sekarang? Pekerjaan ialah sesuatu yang anda lakukan pada masa yang tertentu. Kita buat kerja, siapkan kerja, selepas itu bersara. Jika ini pekerjaan namanya, sepatutnya saya sudah bersara sekarang, tetapi saya masih melukis. Bagi saya, ini bukan pekerjaan, tetapi sesuatu yang diharapkan daripada saya.
—Lat (2007)[23]

Huruf "L" yang dipanjangkan dalam tandatangan Lat dilahirkan daripada keriangan beliau setelah menyiapkan kerja.[100] Beliau mengakui bahawa matlamat utama beliau melukis kartun adalah mencuit hati rakyat jelata; peranannya selaku kartunis adalah "menterjemahkan reaksi orang kepada kartun yang melucukan".[7] Beliau tidak berniat untuk menganjurkan kepercayaannya menerusi seninya, atas pendapat bahawa orang ramai sepatutnya bebas membuat penilaian sendiri sedangkan beliau terdaya membuat pembaca merenungkan erti mendalam yang tersirat di sebalik adegan yang lucu.[105] Ganjaran yang dicari-carinya daripada bidang seni lukis sejak muda lagi ringkas sahaja:

Melukis ini menyeronokkan apabila orang terhibur oleh lukisan yang lucu, terutamanya kanak-kanak. Saya berasa macam seorang penghibur apabila hasil seni lukis saya ditunjukkan kepada sanak-saudara dan sahabat handai; mereka juga tertawa ataupun tersenyum-senyum.[7]

Kebanggaan Lat dalam perkartunan memanggilnya untuk mempromosikan seninya sebagai kerjaya yang dihormati. Pada tahun 1991, beliau bersatu dengan rakan kartunis seperjuangannya, Zunar, Rejabhad, dan Muliyadi untuk menubuhkan Persatuan Kartunis Selangor dan Kuala Lumpur (Pekartun). Persatuan ini mengadakan pameran dan forum untuk meningkatkan kesedaran orang awam akan bidang perkartunan serta menjalin hubungan silaturahim sesama ahli. Pekartun juga membantu menjelaskan permasalahan undang-undang seperti hak cipta kepada ahli-ahlinya, serta bertindak sebagai pengantara antara mereka dan kerajaan.[106][107] Setahun sebelum itu, syarikat Lat, Kampung Boy, menganjurkan Perjumpaan Kartunis Antarabangsa Malaysia yang pertama untuk menghimpunkan para kartunis dari beberapa negara di serata dunia untuk mempamerkan hasil seni mereka sambil menyertai persidangan untuk saling mendidik dalam karya-karya mereka.[108] Pada pendapat Redza, Lat memainkan peranan besar dalam menaikkan martabat bidang kartun di mata rakyat Malaysia.[102]

Selain mempromosikan hak kartunis-kartunis lain, Lat juga berminat untuk memupuk pemuliharaan alam sekitar. Sesetengah karyanya mengkarikaturkan akibat pencemaran dan pengeksploitan sumber alam secara berlebihan.[109] Diundang untuk berucap di Simposium Tamadun Antarabangsa Osaka ke-9 pada tahun 1988, Lat membincangkan masalah persekitaran yang dikaitkan dengan kependudukan berlebihan dan perindustrian berat. Beliau mengenang-ngenangkan lagi zaman kanak-kanak yang lebih ringkas dan bersih dalam persekitaran kampung.[110] Pada tahun 1977, apabila dianjurkan pembantahan aktiviti membalak di Rizab Endau-Rompin, Lat membantu meraih sokongan kepada pergerakan itu dengan melukis kartun yang menekankan isu ini dalam akhbar.[111] Lat juga agak bimbang akan apa yang dilihatnya sebagai keburukan pembangunan bandar. Beliau percaya bahawa pembangunan-pembangunan sedemikian telah menyebabkan kehilangan cara hidup tradisional, kerana orang ramai meminggirkan budaya dan nilai-nilai lama apabila mereka bersepadu dengan kepesatan dan kecanggihan gaya hidup bandar. Pembelaan dan rasa sayangnya terhadap cara-cara lama jelas ditunjukkan dalam karya-karyanya, Kampung Boy, Town Boy, Mat Som, dan Kampung Boy: Yesterday and Today, yang memperjuangkan gaya hidup lama sebagai unggul secara rohani.[112]

Rujukan

WikiPedia: Lat http://www.asiaone.com/News/AsiaOne+News/Malaysia/... http://www.asiaone.com/News/Latest+News/Showbiz/St... http://www.asiaone.com/print/News/Latest+News/Show... http://books.google.com/books?id=1sVP1HbUno4C http://books.google.com/books?id=1sVP1HbUno4C&pg=P... http://books.google.com/books?id=CdoK7S3o4U8C http://books.google.com/books?id=CdoK7S3o4U8C&pg=P... http://books.google.com/books?id=DgCAQXoMQ3kC http://books.google.com/books?id=DgCAQXoMQ3kC&pg=P... http://books.google.com/books?id=IhrwflT-koMC